Dalam kerjaya saya, saya perlu berkerja dan menemui ramai insan-insan
yang kemudiannya akan menjadi kenalan, kawan dan sahabat saya. Mereka
terdiri daripada golongan pelajar, mahasiswa, professional dan warga
korporat. Antara mereka ini, selepas menghadiri program saya. Ada yang
berubah ke tahap yang baik dan lebih baik. Namun hairannya, pasti akan
ada individu yang tidak berubah.
Walaupun mereka berjumpa dengan saya secara peribadi untuk berubah.
Namun mereka tidak akan berubah untuk ke tahap yang lebih cemerlang.Pada
mulanya, saya tidak dapat memahami mengapa mereka bertindak sedemikian.
Setelah saya amati beberapa aspek. Saya mula fahami satu perkara.
Perkara tersebut saya selitkan dalam e-Book "7 Petua Bersahabat" saya.
Sebab yang pertama ialah kerana mereka bersahabat dengan SAHABAT KETAM.
Rasullullah s.a.w bersabda :
"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat
persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi
(yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi
anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau
sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula
samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang
hapak." (Riwayat Abu Daud)
Hadis ini juga menekankan kepentingan pada kita untuk memilih
sahabat-sahabat yang dapat membantu kita maju ke hadapan. Bukan maju ke
arah belakang!
Fenomena memilih sahabat yang berakhlak baik dipandang ringan di
dalam masyarakat kita. Tahukah anda bahawa ramai manusia di luar sana
masih di tahap yang sama hanya kerana mereka masih berada di dalam
lingkungan sahabat-sahabat yang bersifat ketam.
Ya! Bersifat ketam. Mengapa saya kata ketam. Ini adalah kerana jika
anda ambil beberapa ekor ketam dan letakkan mereka di dalam sebuah
bakul. Anda akan lihat ketika ketam yang paling atas cuba melarikan diri
keluar dari bakul tersebut. Ketam dibawahnya akan menarik ketam yang
sedang memanjat untuk melarikan dirinya daripada bakul tersebut.
Akhirnya tiada siapa yang akan berjaya keluar dari bakul tersebut.
Lihatlah bagaimana Allah menunjukkan hikmahNYA kepada kita melalui
sifat ketam ini. Ini adalah satu pengajaran besar yang kita perlu
teladani.
Perkara yang sama juga berlaku dalam hidup kita. Pernahkah
saudara-saudari hadapi perkara ini. Saya yakin pasti ada saat-saat
saudara-saudari mahu berubah dalam hidup anda. Namun kerana lingkungan
sahabat-sahabat yang bersifat ketam ini. Membuatkan anda akhirnya masih
berada dalam alam kehidupan yang sama bersama mereka.
Saya masih ingat lagi ketika saya berkawan dengan sahabat-sahabat
yang jenis suka keluar rumah waktu malam.
Saya cuba berubah untuk
kurangkan keluar rumah di waktu malam.. Namun agak sukar untuk saya
lakukannya, kerana mereka akan menelefon saya dan memaksa saya untuk
keluar bersama mereka.
Mengapa saya mahu kurangkan keluar pada waktu malam ialah kerana saya
merasakan lepak di luar rumah pada waktu malam satu sikap yang tidak
baik. Lebih daripada itu, kami pasti akan makan dan minum apabila
bertemu. Faktor ini menyumbang kepada penurunan kesihatan tubuh badan
saya dan perbelanjaan makan minum saya juga akan terlari dari bajet
bulanan saya.
Namun setelah saya kenal pasti sahabat-sahabat yang bersifat ketam
ini. Saya mula menjauhkan diri dan alhamdulillah. Kini saya boleh fokus
pada kerja-kerja utama saya seperti merangka modul untuk program latihan
dan motivasi saya pada waktu malam.
Memang sukar untuk lakukan perkara ini. Namun jika anda mahu berubah.
Anda perlulah lakukan perkara ini. Cubalah!!! Namun harus diingati,
maksud saya di sini ialah hanya menjauhkan diri bukannya putus sahabat.
Nabi tidak pernah menggalakkan kita untuk memutuskan tali silaturrahim.
Ajaibnya nanti, anda akan lihat apabila anda berubah dan maju satu
tangga ke hadapan. Anda akan bertemu dengan rakan-rakan baru pula.
Carilah sahabat-sahabat yang dapat membawa kita maju di dalam kehidupan
ini.Akhir kata dari saya...jauhilah sahabat yang bersifat ketam.
artikel dari sahabat
No comments:
Post a Comment