Monday, 16 July 2012

Hiburan Berlebihan Budaya Siapa?

Perkongsian pengalaman dalam kehidupan

dari  Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Hiburan Berlebihan Budaya Siapa?


1. Isu hiburan di dalam Islam sudah banyak dikupas oleh ramai ulamak. Dr Yusuf al-Qardhawi ada menulis buku khas tentang isu hiburan di dalam Islam. Beliau juga ada mengulas di dalam bukunya Malamih Mujtama; Muslim. Dr Abd Karim Zaidan menulis tentang hiburan di dalam jilid ke 4 bukunya Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah.  Dr Abdullah Naseh Ulwan ada juga menghuraikan isu hiburan ini di dalam mukadimah lirik koleksi nasyid Abu al-Jud.  Ini antara tulisan terbaik di dalam isu ini yang saya jumpa. Dan tentunya banyak lagi tulisan yang baik yang saya tak jumpa, tersebar luas di dalam dunia penulisan Islam. Saya tidaklah merujuk kembali kepada buku-buku itu untuk menulis entry ini, kerana isu ini tidaklah susah sangat untuk difahami.
2. Hiburan yang diharamkan adalah yang berlawanan dengan batas syarak seperti percampuran lelaki perempuan, disertai arak, tarian yang mengghairahkan, ayat-ayat yang mengandungi unsur lucah, membawa kepada kelalaian sehingga terabai perkara-perkara fardhu dan begitulah seterusnya. Isu muzik dan suara wanita; ini adalah perkara khilaf yang juga sudah banyak diperbincangkan ulamak. Begitu juga isu paparan gambar-gambar wanita jelita yang menutup aurat. Selagi mana ianya khilaf, maka terpulanglah kepada masing-masing untuk menilai dan mentarjih.
3. Jika hiburan itu dapat dikawal sehingga ianya benar-benar menepati syarak, ia masuk di dalam kategori perkara harus (mubah). Perkara harus tidaklah harus secara mutlak. Imam Muhammad Abu Zuhroh misalnya meletakkan bahawa perkara yang harus tidak boleh ditinggalkan secara mutlak dan juga tidak boleh dilakukan berterusan secara mutlak. Tidak harus seseorang untuk meninggalkan makan minum secara mutlak kerana ia akan membawa kepada kemusnahan jiwa. Tidak boleh juga berhiburan secara berterusan siang dan malam kerana ia akan membawa kepada terabai perkara-perkara fardhu.
4. Islam tidak menolak hiburan tetapi sebaliknya meletakkannya pada posisinya yang tobie, iaitu sebagai tahsiniat di dalam kehidupan. Dikawal dengan kawalan tertentu agar ia tidak memusnahkan perkara-perkara dhoruriat di dalam syariat.
5. Hiburan di negara kita sudah melebihi saiz dan dos yang dibenarkan oleh syariat. Suasana dalaman rumah yang dikuasai oleh tv dan siaran radio, budaya berhibur sehingga melebihi lewat malam, kandungan siaran tv dan isi kandung perbualan di radio, cerita-cerita dan gosip di dalam media cetak dan lain-lain lagi menjadi bukti kepada apa yang saya sebutkan ini. Apabila ia sudah melebihi tahap, maka natijah dari itu adalah pengabaian banyak kefardhuan, tanggungjawab, perlanggaran hak dan sifat-sifat negatif yang mendarah daging di dalam diri individu muslim.
6. Mengawal hiburan adalah tanggungjawab semua pihak; kerajaan, pembangkang, ngo, parti, pertubuhan Islam, jawatankuasa penduduk, jawatankuasa surau, penghulu, majikan, ibu bapa dan setiap individu. Islam mempunyai budayanya yang tersendiri, dan setiap orang Islam bertanggungjawab untuk mengekalkan budaya tersebut.
7. Apabila isu hiburan ini dipolitikkan, yang ruginya adalah orang Islam. Apabila kerajaan negeri Kedah membuat keputusan menutup pusat hiburan selama sebulan di dalam bulan Ramadhan, umat Islam sepatutnya bersatu untuk menyokongnya kerana ia adalah jalan yang akan meningkatkan pembudayaan Islam di dalam negeri. Sekarang dipaparkan pula kerajaan Melaka membenarkan15  pusat hiburan dibuka sehingga jam 3 pagi hari Jumaat-Ahad, maka sekali lagi umat Islam patut bersatu untuk menghalangnya.
8. Jika ada yang mengatakan bahawa itu hak bukan Islam, maka ia perlu dibenarkan kepada mereka; pandangan saya, perkara ini perlu dilihat melalui dua perspektif:

a. Islam adalah agama negara ini. Hak ini diberikan oleh perlembagaan dan juga dari segi sejarah negara ini sendiri. Budaya yang mesti dominan adalah budaya Islam. Hiburan akan dikawal berdasarkan budaya Islam tersebut. Dengan itu jadual tutup buka pusat hiburan, iklan, barang jualan dan sebagainya sepatutnya disusun ke arah mengekalkan budaya Islam tersebut dan bukan mengubahnya. Budaya yang asing dari budaya Islam tidak sepatutnya kelihatan secara nyata di dalam kehidupan zahir masyarakat.
b. Orang bukan Islam sendiri tidak semuanya suka hiburan yang berlebihan itu. Barat sendiri  yang merupakan kiblat mereka sudah mula meletakkan disiplin tertentu kepada isu hiburan di negara mereka. Mereka sudah keletihan melayan orang mabuk yang tersilap masuk rumah, muntah-muntah di laluan pejalan kaki, pemandu teksi yang merungut kerana dipaksa untuk bekerja sehingga lewat malam demi pemabuk yang mahu pulang ke rumah, kes-kes kecurangan suami isteri, anak-anak luar nikah yang menuntut hak secara tiba-tiba, jenayah rogol yang tidak boleh dikawal, kadar kemurungan yang tinggi, pengambilan dadah yang sudah tidak boleh dikawal, anak-anak yang liar dan ketagihan arak yang membawa kepada penyakit yang pelbagai.
9. Apabila kita bercakap tentang larangan dan kawalan hiburan, selain sistem dan penguatkasaan undang-undang, kita juga bercakap tentang pembudayaan. Tetapi, sudah pasti bahawa pembudayaan bukan satu perkara yang mudah. Pembudayaan adalah projek jangka masa panjang yang hanya akan dilihat hasilnya dengan perubahan generasi demi generasi. Sikap kita hari ini akan menentukan apakah budaya yang akan muncul nanti dalam masyarakat.
10. Akhirnya saya menyeru kepada semua terutamanya pihak berwajib dan berpengaruh di dalam masyarakat dan negara agar mengambil langkah yang betul di dalam isu hiburan di negara kita ini.

Friday, 13 July 2012

Pada Saat Kita Berkata...


Adakah anda tahu sahabat anda sentiasa bersangka baik dengan anda? Tahukah anda pada saat anda mengata sahabat anda itu dan ini, sahabat anda pula memuji anda?


Pada saat kita mengatakan teman sebilik kita seorang yang "tidak pembersih", sahabat kita mengatakan yang kita ini seorang yang rajin belajar, taat kepada perintah ibu bapa dan menjaga hubungan dengan Allah. Tidak pernah sekali pun dia mengatakan perkara yang tak baik tentang kita. Tak pernah sekali dia membuka aib kita kepada orang lain.

Pada saat kita mengatakan 'mood' untuk belajar hilang sebab rakan kita pinjam buku kepunyaan kita, kita lupa yang sahabat kita pernah keluarkan duitnya untuk belanja kita makan waktu poket kita kosong tidak berduit dulu... Pada saat itu kita lupa jasa baik dia kepada kita.

Pada saat kita berkata di Facebook, "Hari ini aku sakit hati dengan sahabat aku kerana dia menyorokkan barang aku (kononnya) untuk suka-suka", sahabat kita pula memberitahu orang lain bahawa kita adalah orang yang sangat hebat, kuat pendirian agama dan mempunyai kepimpinan yang menyerlah.

Pada saat kita mengatakan yang kawan kita tak pernah bangun lebih awal daripada kita justeru dia selalu menyusahkan kita kerana kita terpaksa mengejutkan dia setiap pagi, kita lupa sahabat kita tak pernah beritahu orang lain yang kita pernah mengambil hak dia tanpa pengetahuannya. Kita pernah pinjam wang dia tapi lupa untuk memulangkannya semula. Sahabat kita tak pernah mengungkit hal itu.

Pada saat kita mengatakan sahabat kita tak pernah gosok baju sebelum ke kuliah, malas mandi dan kuat tidur, kita lupa yang sahabat kita pernah bekalkan ubat waktu kita demam teruk dulu dan bersengkang mata semalaman menjaga kita.

Pada saat kita mengatakan yang rakan kita seorang yang pelik, suka berpura-pura dan busuk hati, rakan kita sedang sibuk menguruskan kenduri doa selamat untuk menyambut hari lahir kita. Rakan kita sanggup mengeluarkan wang belanjanya sendiri untuk memastikan hari istimewa kita itu berjalan dengan lancar supaya kita gembira.
...

Sahabat sekalian, ini peringatan untuk diri saya sendiri. Selemah-lemah ukhuwah adalah bersangka baik, maka tentera syaitan cuba untuk mereka-reka punca pergaduhan dengan menggalakkan bersangka buruk. Perbanyakkanlah doa supaya dijauhkan daripada hasutan syaitan, insya-Allah...

Allah SWT berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. "
(Surah al-Hujuraat, ayat 12)
Dengan mengikut suruhan Allah untuk berbaik sangka, hidup kita akan lebih bahagia, insya-Allah. Percayalah kepada Allah yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Apabila keliru dan mempunyai masalah dalam kehidupan, rujuklah panduan hidup yang telah diberikan oleh Allah kepada kita iaitu Al-Qur'an dan As-Sunnah :)

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

"...boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu."
(Surah al-Baqarah, ayat 216)



Wednesday, 11 July 2012

Nafsu Musuh yang Dicintai

" arghh.. bodohnya aku! Kenapa aku ikut nafsu.."

" aduh.. aku kalah lagi dengan nafsu.."baby
" kenapa aku begini? Teruknya.."
Kerana nafsu diri disalahkan.. Begitulah keadaan kita apabila terlanjur melayan kehendak nafsu. Nafsu mengajak, kita melayan. Nafsu memang hebat. Kehendak nafsu walaupun sangat merosakkan tetapi sanggup kita turuti.
Semuanya kerana apa? Kerana nafsu mengajak melakukan sesuatu yang sangat menyeronokkan. Kita suka. Akhirnya, nafsu menjadi musuh yang sangat kita cintai.
Bayangkanlah.. keburukan nafsu seperti banyak makan, banyak tidur, banyak cakap, marah-marah, seronok berhibur, bermegah dengan kecantikan, sombong dengan harta kekayaan, gila pujian, rasuah, melihat aurat orang lain, dan lain-lain adalah sesuatu yang memang menjadi kesukaan manusia. Semuanya best-best.
Allah 'Azza Wa Jalla juga ada menyebutkan..


زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Dijadikan terasa indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)." [3:14]
Mahu menetang perkara yang kita suka? Huu.. pasti sukar.
Nafsu yang menyeronokkan itu tetap akan ada dalam diri kita walau di mana jua. Apabila nafsu ditentang, diri kita yang terseksa. Menentang nafsu ibarat menentang diri sendiri. Keperitan dan kesakitannya pasti terasa. Maka ramailah dalam kalangan kita yang tidak menentang nafsu malah rela melayannya kerana tidak mahu diri terseksa.
Lalu apa jadi selepas nafsu dituruti?
Kita rasa menyesal atau rasa terhibur?
Kita kesal? Alhamdulillah.. bersyukurlah sekiranya kekesalan itu wujud dalam diri kita. 'Rasa menyesal' merupakan bukti bahawa kita masih beriman dan kita masih punya harapan.
Biarlah kekesalan itu mendorong diri kita untuk bertaubat, memohon keampunan daripada Allah atas keterlanjuran kita. Jangan ditangguh-tangguh taubat itu kerana pengampunan Allah tersedia buat hamba-hambaNya yang segera memohon ampun.

Sabda Rasulullah SAW;
مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ، ثُمَّ يَقُوْمُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّـهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّـهُ لَهُ
"Tiada seorang hamba yang melakukan dosa, lalu ia menyempurnakan wuduknya.
Kemudian ia bangun, lalu mendirikan salat dua rakaat, seterusnya memohon keampunan kepada Allah, melainkan Allah mengampunkan baginya."
[Riwayat Abu Daud dan Tirmizi]


Mengadulah pada Allah akan kelemahan kita dalam melawan kerenah nafsu. Selalulah meminta kekuatan dan petunjuk agar diri kita tidak mudah tergoda oleh pujukan dan rayuan nafsu.
" Apa jadi kalau diri kita tidak rasa menyesal lalu terus hanyut dengan nafsu?"
Adush.. ruginya.. rugi besar..
malang sungguh keadaan insan yang sedemikian. Sudah melakukan dosa namun tiada rasa penyesalan, itu tandanya kita adalah penderhaka. Langsung tidak rasa bersalah terhadap dosa. Sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW;


"Sesungguhnya orang yang derhaka itu  melihat dosanya bagaikan lalat yang hinggap dihidungnya."
 [Riwayat Bukhari]


Ya, memang benar. Apabila diri kita sanggup menderhaka kepada Allah semata-mata menurut kehendak nafsu, maka dosa akan dianggap sesuatu yang biasa. Lepas buat dosa, dibiarkan diri tanpa taubat. Seolah-olah dosa yang dilakukan itu tidaklah memberi kesan apa-apa melainkan kepuasan yang menyeronokkan.
Arhh.. apa sudah jadi? adakah diri kita begitu?
Jangan. Jangan bersikap sebegitu wahai diri. Jangan jadikan nafsu sebagai Tuhanmu. Berhentilah  menurut kehendak nafsumu. Jangan sampai keseronokan dan kelekaan kita melayan nafsu menyebabkan kita rosak. Mata kita jadi buta, tidak dapat melihat kebenaran. Hati kita jadi keras tidak dapat dilembutkan dengan kebenaran. Lalu kita hidup dalam kesesatan.


أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuan-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?"[45:23]


Jelas sungguh keterangan daripada Allah itu. Maka marilah kita bersama-sama takut kepada Allah 'Azza Wa Jalla dan berusaha menjauhkan diri daripada segala pujuk rayu hawa nafsu. Mudah-mudahan Redha dan Syurga-Nya menjadi milik kita. Hayati janji Allah ini;
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى
"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya."[79:40-41]


*Nasihat buat diriku yang sedang bermujahadah melawan nafsu.. ^^
~Akhiratkan kehidupanmu untuk Rahmat Allah!!~

Sahabat Ketam




Dalam kerjaya saya, saya perlu berkerja dan menemui ramai insan-insan yang kemudiannya akan menjadi kenalan, kawan dan sahabat saya. Mereka terdiri daripada golongan pelajar, mahasiswa, professional dan warga korporat. Antara mereka ini, selepas menghadiri program saya. Ada yang berubah ke tahap yang baik dan lebih baik. Namun hairannya, pasti akan ada individu yang tidak berubah.
Walaupun mereka berjumpa dengan saya secara peribadi untuk berubah. Namun mereka tidak akan berubah untuk ke tahap yang lebih cemerlang.Pada mulanya, saya tidak dapat memahami mengapa mereka bertindak sedemikian. Setelah saya amati beberapa aspek. Saya mula fahami satu perkara. Perkara tersebut saya selitkan dalam e-Book "7 Petua Bersahabat" saya. Sebab yang pertama ialah kerana mereka bersahabat dengan SAHABAT KETAM.


Rasullullah s.a.w bersabda :

"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak." (Riwayat Abu Daud)



Hadis ini juga menekankan kepentingan pada kita untuk memilih sahabat-sahabat yang dapat membantu kita maju ke hadapan. Bukan maju ke arah belakang!

Fenomena memilih sahabat yang berakhlak baik dipandang ringan di dalam masyarakat kita. Tahukah anda bahawa ramai manusia di luar sana masih di tahap yang sama hanya kerana mereka masih berada di dalam lingkungan sahabat-sahabat yang bersifat ketam.
Ya! Bersifat ketam. Mengapa saya kata ketam. Ini adalah kerana jika anda ambil beberapa ekor ketam dan letakkan mereka di dalam sebuah bakul. Anda akan lihat ketika ketam yang paling atas cuba melarikan diri keluar dari bakul tersebut. Ketam dibawahnya akan menarik ketam yang sedang memanjat untuk melarikan dirinya daripada bakul tersebut. Akhirnya tiada siapa yang akan berjaya keluar dari bakul tersebut.
 crap
Lihatlah bagaimana Allah menunjukkan hikmahNYA kepada kita melalui sifat ketam ini. Ini adalah satu pengajaran besar yang kita perlu teladani.
Perkara yang sama juga berlaku dalam hidup kita. Pernahkah saudara-saudari hadapi perkara ini. Saya yakin pasti ada saat-saat saudara-saudari mahu berubah dalam hidup anda. Namun kerana lingkungan sahabat-sahabat yang bersifat ketam ini. Membuatkan anda akhirnya masih berada dalam alam kehidupan yang sama bersama mereka.
Saya masih ingat lagi ketika saya berkawan dengan sahabat-sahabat yang jenis suka keluar rumah waktu malam.
Saya cuba berubah untuk kurangkan keluar rumah di waktu malam.. Namun agak sukar untuk saya lakukannya, kerana mereka akan menelefon saya dan memaksa saya untuk keluar bersama mereka.

Mengapa saya mahu kurangkan keluar pada waktu malam ialah kerana saya merasakan lepak di luar rumah pada waktu malam satu sikap yang tidak baik. Lebih daripada itu, kami pasti akan makan dan minum apabila bertemu. Faktor ini menyumbang kepada penurunan kesihatan tubuh badan saya dan perbelanjaan makan minum saya juga akan terlari dari bajet bulanan saya.
Namun setelah saya kenal pasti sahabat-sahabat yang bersifat ketam ini. Saya mula menjauhkan diri dan alhamdulillah. Kini saya boleh fokus pada kerja-kerja utama saya seperti merangka modul untuk program latihan dan motivasi saya pada waktu malam.

Memang sukar untuk lakukan perkara ini. Namun jika anda mahu berubah. Anda perlulah lakukan perkara ini. Cubalah!!! Namun harus diingati, maksud saya di sini ialah hanya menjauhkan diri bukannya putus sahabat. Nabi tidak pernah menggalakkan kita untuk memutuskan tali silaturrahim.
Ajaibnya nanti, anda akan lihat apabila anda berubah dan maju satu tangga ke hadapan. Anda akan bertemu dengan rakan-rakan baru pula. Carilah sahabat-sahabat yang dapat membawa kita maju di dalam kehidupan ini.Akhir kata dari saya...jauhilah sahabat yang bersifat ketam.


artikel dari sahabat