
Duhai mata yang sedang menangis...
Mungkin tika ini kau sedang bahagia.
Mungkin juga kau sedang berdukacita.
Apapun situasimu, air mata yang
menggenangi kelopak matamu dan mengalir ke pipi ialah anugerah Allah
s.w.t yang tidak terhingga. Ia mampu membuang racun di tubuhmu kemudian
disusuli ketenangan jiwa. Bersyukurlah kepada-Nya kerana hingga saat
ini kau masih mampu menangis.
Kenapa menganggap semua tangisan itu satu kelemahan?
Kenapa menganggapnya satu lambang ketidak matangan?
Bukankah Allah s.w.t merakam mulia sebuah tangisan dalam firman-Nya:
"Dan mereka menyungkur (sujud) di atas mula bumi mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk" (Surah al-Isra':109)"Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis." (Surah Maryam: 58)
Duhai mata yang sedang menangis...
Tahukah dikau, jika dikaji dari
perspektif sains, tangisanmu mampu menjadi terapi kesihatan yang
berguna dalam merawat penyakit berbahaya. Tatkala dirimu dalam
ketakutan, unsur-unsur berbahaya dijana oleh tubuh. Air mata secara
semulajadi boleh membuangnya.
Otak pula bekerja mengeluarkan
unsur-unsur kimia daripada air mata. Bukan itu saja, tangisan menambah
jumlah degupan jantung sebagai latihan berguna buat sekatan rongga
badan, kedua-dua bahu dan urat-urat dada. Setelah tangisanmu reda,
kembalilah degupan jantung ke asalnya dan ketenangan mula menguasai
jiwa.
Subhanallah!hebat sungguh penciptaan air mata.
Duhai mata yang sedang menangis...
Tangisan bukan keaiban tapi satu
keperluan. Sama ada kau lelaki atau wanita, kau perlu ada tangisan. Ia
menjernihkan kornea dan menajamkan penglihatan. Ia meringankan
ketegangan jiwa. Ia mengungkapkan kesedihan lalu merungkai beban yang
tersimpan.
Jika kau lelaki, kenapa perlu malu pada tangisan?
Mungkin sosiobudaya mendidikmu bahawa
tangisan itu satu kelemahan dalam mengendalikan kemampuan. Kau mungkin
dipisahkan antara diri dengan perasaanmu sendiri oleh didikan silam.
Apa pun, tak siapa dapat menafikan kau juga insan yang punyai hati dan
perasaan. Isi hatimu kadangkala (bukan semuanya) perlu diluahkan dengan
tangisan untuk mengurangkan tekanan dan risiko penyakit. Usah menipu
diri berlagak kuat dengan menafikan air mata kerana kelak badanmu
mendapat darurat.
Jika kau wanita, kau mungkin lebih banyak menangis daripada lelaki.
Tahukah dikau, penyayangnya Allah
s.w.t padamu hingga Dia menciptakan kelenjar-kelenjar air matamu lebih
besar daripada kelenjar-kelenjar air mata lelaki. Tidak hairanlah
kajian ilmiah menunjukkan kau menangis empat kali lebih banyak daripada
lelaki.
No comments:
Post a Comment